OUM App Malay - Latest

Modul Dalam Bahasa Melayu  – Penggunaan dua bahasa mengikut keselesaan pelajar

Dalam Akhbar : Modul Dalam Bahasa Melayu

Penggunaan dua bahasa mengikut keselesaan pelajar

Diterbitkan: Julai 7,2013 

Sumber : Metro Ahad

Sejajar dengan moto, “Universiti untuk Semua”, Open University Malaysia (OUM) kini telah memperkenalkan modul pengajian dalam Bahasa Melayu.

Penggunaan modul itu sememangnya memberi pendekatan kepada pelajar mengenai pentingnya bahasa kebangsaan.

Naib Presiden Kanan OUM, Professor Mansor Fadzil berkata, jika universiti luar negara boleh menggunakan bahasa kebangsaan, pihaknya juga mampu melakukan sedemikian.

Ini katanya, bagi membuktikan bahawa OUM tidak pernah melupakan Bahasa Melayu dengan hanya menguasai Bahasa Inggeris.

“OUM mengambil langkah ini kerana kita peka terhadap permintaan pasaran luar terutama pelajar. Apa yang lebih penting adalah fleksibiliti seseorang pelajar itu.” “

Pengajaran dan modul yang diberikan kepada pelajar ketika mendaftar adalah dalam Bahasa Inggeris. Dengan itu, OUM memberi pilihan kepada pelajar sama ada hendak menggunakan Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris ketika menduduki peperiksaan,” katanya.

Tambah beliau, pemprosesan modul dalam Bahasa Melayu mungkin mengambil masa antara satu atau dua tahun untuk semua program yang ditawarkan di OUM.

Jelasnya lagi, ini kerana tidak semua pelajar fasih berbahasa Inggeris dan ada juga yang kurang fasih berbahasa Melayu.

“Dengan penggunaan modul baru ini, ia mampu memberikan pelajar pilihan dalam bidang pendidikan,” katanya.

“Pengajaran dan modul yang diberikan kepada pelajar ketika mendaftar adalah dalam Bahasa Inggeris. Dengan itu, OUM memberi pilihan kepada pelajar sama ada hendak menggunakan Bahasa Melayu ataupun Bahasa Inggeris ketika menduduki peperiksaan,”Profesor Mansor Fadzil, Naib Presiden Kanan OUM

Kursus aplikasi mudah alih di OUM

Bagi memudahkan proses pembelajaran pelajar

Open University Malaysia (OUM) memperkenalkan aplikasi mudah alih dalam penggunaan teknologi terkini, kata Naib Presiden Kanan OUM, Profesor Mansor Fadzil.

Beliau berkata, modul kursus melalui telefon pintar dan tablet itu bertujuan untuk membantu menyelaraskan bahan pembelajaran kepada pelajar di universiti.

Katanya, penggunaan aplikasi itu antara usaha terkini OUM dalam memanfaatkan teknologi mudah alih, di samping memudahkan lagi proses pembelajaran pelajar di universiti itu.

“Dengan penggunaan teknologi mudah alih dalam pengajian ini, OUM bukan sahaja menumpukan pembelajaran secara fizikal, malah turut memfokuskan kepada pembelajaran secara dalam talian.”

“Aplikasi ini membuktikan kemajuan OUM sejajar dengan perkembangan semasa. Malah penggunaannya juga adalah untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran,”katanya.

Menurut Profesor Mansor, aplikasi mudah alih itu bersesuaian dengan pembelajaran jarak jauh dan mampu memberi fleksibiliti serta kebebasan kepada pelajar.

Jelasnya, bagi pelajar yang berdaftar, hanya perlu memuat turun bahan pembelajaran untuk kursus yang mereka ambil pada setiap semester.

“Aplikasi ini juga boleh dimuat turun menerusi Apple App Store secara percuma oleh orang ramai untuk kali pertama dan muat turun berikutnya akan dikenakan caj.”

“OUM App turut memberikan akses kepada banyak bahan pembelajaran yang lain seperti iLectures, podcast audiodan video tanpa perlu membawa buku pengajian yang tebal dan berat,” katanya.